LEICESTER CITY 1 CHELSEA 3
Chelsea menutup satu minggu yang luar biasa dengan penuh bergaya apabila mempamerkan aksi menghiburkan untuk menewaskan Leicester City 3-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium King Power lewat malam tadi.
Malang berganda buat Leicester apabila mereka turut menamatkan perlawanan itu dengan 10 pemain selepas Wout Faes dilayangkan kad kuning kedua pada penghujung aksi.
Kemenangan The Blues ke atas Borussia Dortmund dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pertengahan minggu ini jelas mengurangkan tekanan buat Graham Potter dan anak buahnya sekali lagi memaparkan persembahan terbaik mereka dalam pertemuan kali ini.
Bekas pertahanan sayap Leicester, Ben Chilwell, memberikan Chelsea pendahuluan seawal minit ke-11, di mana dia melepaskan separa voli gemilang untuk menewaskan Danny Ward, sekali gus meraih jaringan liga keduanya sepanjang musim ini.
Leicester, bagaimanapun, memberikan respons menerusi jaringan Patson Daka, yang melepaskan satu tendangan lencong untuk menewaskan Kepa Arrizabalaga pada minit ke-39.
Ketika kedua-dua pasukan kelihatan akan terikat menuju ke bilik persalinan, Kai Havertz menjaringkan gol liga keenamnya musim ini untuk memastikan Chelsea menuju ke babak kedua dengan kelebihan satu gol apabila melakukan satu lambungan yang menewaskan Ward.
Selepas jaringan Mykhailo Mudryk dibatalkan pengadil, Kovacic menamatkan saingan itu pada 12 minit terakhir, di mana dia mengatasi Ward dengan satu sepakan voli akrobatik sebelum Faes dilayangkan kad kuning kedua gara-gara mengasari Carney Chukwuemeka.